Thursday, November 4, 2010

Taubat Sekumpulan Perompak!!

Assalamualaikum wbt.

Di ceritakan pada suatu hari sekumpulan perompak sedang mara ke sebuah gurun pasir untuk menjalankan kegiatan harian mereka untuk memeras ugut setiap orang yang lalu lalang dihadapan itu dan mengambil barang-barangnya. Kerana seronoknya merompak dan mencuri, mereka sehinggakan tidak balik ke markasnya sehingga malam. Merekapun mencari tempat untuk bermalam dan berjumpa dengan sebuah rumah yang dihuni oleh sepasang suami isteri dan anaknya. Mereka pun mengetuk pintu rumah itu.

"Tuk tuk tuk!!" 

Penghuni rumah keluar melihat gerangan siapakah yang mengetuk pintu dan ternyata sekumpulan orang yang bersenjata lengkap berdiri dihadapan pintu.

"Siapakah kalian ini?" Tanya tuan rumah.

Ketua perompak menerangkan bahawa mereka adalah sebahagian dari pasukan tentera yang sedang berperang. Oleh kerana waktu telah malam, perang dihentikan dan mereka terpaksa mencari tempat untuk bermalam.

"Bolehkah kami ini bermalam di rumah tuan?" Kata ketua perompak.

"Boleh." Kata tuan rumah.

Lalu mereka dijemput masuk. Tuan rumah sangat gembira menerima tetamu para pejuang itu. Dia melayan mereka dengan sebaik-baiknya kerana ingin mendekatkan diri dengan Allah dan mendapatkan berkat para pejuang yang berperang di jalan Allah.

Tuan rumah itu mempunyai seorang anak yang lumpuh. Walaupun usianya telah bertahun-tahun, namun anaknya itu masih tidak dapat berdiri. Anaknya hanya mampu berjalan dengan hanya mengheret atau sambil duduk sahaja. Teringatlah tuan rumah bahawa orang yang berperang dijalan Allah doanya makbul dan sisa-sisa barang yang dipergunakannya mempunyai khasiat tinggi dengan izin Allah. Maka dengan keyakinan dan iktikad yang baik dan tulus ikhlas kerana Allah, tuan rumah mengambil sedikit sisa-sisa air yang dipergunakan oleh tetamunya itu.

Dia berkata kepada isterinya : "Sila lapkan air ini pada anggota tubuh anak kita! Mudah-mudahan Allah menyembuhkannya dengan berkat para pejuang itu."
Si isteri mengikut apa yang diperintahkan oleh suaminya, dia pun mengelap badan dan kaki dengan air sisa itu sambil berdoa kepada Allah semoga anaknya dapat berjalan dengan berkat para pahlawan yang sedang berperang yang kini berada dirumahnya.

Pada pagi hari para tetamunya meminta izin untuk meneruskan 'perjuangannya'. Merekapun pergi ke suatu tempat yang ditentukan. Disanalah mereka beraksi merompak dan merampas setiap barang yang berharga yang dijumpainya, maka banyaklah harta yang diperolehinya. Apabila hari telah petang dan sekejap lagi malampun tiba, para peromapak itu balik ke semula kerumah tuan yang ditumpangi. Sebaik sahaja sampai dihadapan rumah itu, mereka ternampak anak tuan rumah yang lumpuh itu tiba-tiba tegak berdiri dan berjalan seperti tidak pernah sakit. Mereka sangat hairan kerana pagi tadi anak itu masih berjalan dengan mengheret tubuhnya dan sebelah petang keadaan berubah serta merta.

"Tuan, apakah ini anak yang lumpuh itu?" Tanya salah seorang perompak.

Tuan rumah menjawab : "Ya benar."


"Bukankah pagi tadi kami nampak dia berjalan mengheret tubuhnya? Tanyanya lagi.

Tuan rumah menjawab : "Ya benar."

Kemudian tuan rumah menerangkan : "kami mengambil sisa-sisa air yang dipakai oeh tuan sekalian, kemudian kami lapkan kepdanya dengan harapan semoga Allah menyembuhkannya dengan berkat tuan-tuan sekalian sebagai tentera yang berjuang dijalan Allah. Dan ternyata mujarab."


Mendengar keterangan itu, tiba-tiba para perompak itu menangis dan mencampakkan barang-barang yang ada di tangan mereka. Kemudian dengan terus terang mereka berkata : "Ketahuilah wahai tuan yang baik hati, sebenarnya kami bukanlah tentera yang berjuang dijalan Allah sebagaimana yang kami dakwakan itu. Bahkan kami ini adalah sekumpulan pencuri dan perompak yang merampas  barang-barang orang yang lalu lalang. Adapun kesembuhan anakmu itu tak lain hanyalah semata-mata kerana keyakinan dan iktikadmu yang tulus ikhlas kepada Allah."


Tuan rumah bersama isterinya sangat terkejut mendengar pengakuan tetamu yang dihormatinya itu. Walaubagaimanapun kedua-duanya sangat gembira kerana anaknya telah disembuhkan oleh Allah kerana keikhlasan dan keyakinannya dalam memberi ubat kepada anaknya.

Para perompak terus menangis dan sangat terharu terhadap keikhlasan tuan rumah yang melayani mereka. Kini mereka sedar akan kelakuan yang menyimpang selama ini. Kemudian mereka berkata : "Sekarang kami telah sedar dan kami bertaubat kepada Allah."


Sejak peristiwa itu, para perompak bersenjata itu telah mengubah corak kehidupan mereka daripada merompak dan mengugut kepada pejuang di jalan Allah. Mereka bergabung dengan pasukan islam menentang musuh. Senjata yang dulunya digunakannya untuk mengancam mangsa yang tidak berdosa, kini digunakannya untuk menentang orang kafir. Begitulah kehidupan mereka sehingga menemui ajal di medan perjuangan. 


Akhir kata : Allahu Akbar!!




2 ulasan:

humbleyat on November 4, 2010 at 8:08 AM said...

pentingnya sifat ikhlas dan yakin kan?

zikrie on November 4, 2010 at 8:13 AM said...

yup.. :) pandai
kamu seorang pembaca yang baik..

Sambil Baca Sambil Dengar.

linkwithin

Related Posts with Thumbnails
 

Tinggalan nota dari zikrie Copyright © 2009 Template is Designed by Islamic Wallpers